Isu pesawat Israel, menteri PAS dan UMNO bisu atau tunduk kepada MCA?

Isu pesawat Israel, menteri PAS dan UMNO bisu atau tunduk kepada MCA?

Difahamkan kapal terbang Boeing milik Israel dikesan telah mendarat di sebuah pangkalan tentera di Singapura, yang tidak dinyatakan, bukan di lapangan terbang antarabangsa negara tersebut.

Ketua Pemuda  PAKATAN HARAPAN, Shazni Munir berkata, kebenaran Kementerian Pengangkutan terhadap lintasan pesawat Israel di ruang udara Malaysia seakan-akan kita tidak boleh langsung menghalang mana-mana pesawat atas nama keanggotaan dalam Pertubuhan Penerbangan Awam  Antarabangsa (ICAO), asalkan ianya ‘tidak mengancam keselamatan dan kedaulatan negara’.

“Pertama sekali, kenyataan ini keluar daripada sebuah kerajaan yang suka bermuka-muka.

“Kecaman terhadap Israel sekadar di mulut namun hakikatnya muka-muka inilah yang rapat dan mesra dengan para pelobi normalisasi hubungan dengan Israel,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau akibat telah terbiasa bermuka-muka itulah yang akhirnya tanpa rasa bersalah telah membenarkan pesawat Israel melalui ruang udara negara.

“Kalau pun mahu bersangka baik bahawa pesawat itu tidak mengancam keselamatan negara, tidakkah berwaspada dengan tidak membenarkan itu jauh lebih baik?” soal beliau.

Beliau mempersoalkan sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat tidak prihatin terhadap keresahan rakyat Malaysia berhubung insiden ini.

“Tidakkah Muhyiddin dan para menterinya ini tahu betapa resahnya rakyat apabila mendapat tahu pesawat Israel dengan senang-lenangnya boleh melintas ke ruang udara negara, ketika beberapa hari sebelumnya rakyat Malaysia memberikan sokongan yang jitu kepada perjuangan rakyat Palestin?” soalnya.

Beliau juga mengecam pimpinan PAS dan UMNO yang membisu mengenai tindakan Kementerian Pengangkutan yang diterajui oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong itu.

“Lantas ingin ditanyakan soalan terakhir, di mana menteri PAS dan UMNO? Tunduk kepada MCA kah?” Soal Shazni.

Malah akhbar rasmi PAS Harakahdaily sekadar menerbitkan semula rencana dari Bernama berhubung kenyataan Kementerian Pengangkutan itu.

Antara lain kenyataan itu menyebut bahawa pihak berkuasa penerbangan Malaysia telah mengesahkan bahawa pesawat itu tidak kembali ke ruang udara Malaysia selepas tiba di destinasinya, Singapura.

Pelik. Boleh pula pesawat itu mencari ruang udara lain untuk kembali ke negara haram Israel itu.

Justeru, apa urusannya melintasi ruang udara Malaysia ketika datang ke Singapura?

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )