Isu perparitan dan banjir: Kerajaan Pahang dan PBT diam seribu bahasa

Isu perparitan dan banjir: Kerajaan Pahang dan PBT diam seribu bahasa

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Zuraidi Ismail menzahirkan kekesalan apabila laporan yang dihantar kepada Kerajaan Pahang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mendapat maklum balas daripada pihak berkenaan sama ada daripada Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mahupun Exco yang terlibat tentang menaik taraf sistem saliran dan perparitan di negeri itu sebelum berlaku banjir.

“Kerajaan Pahang perlu memastikan sistem perparitan dan saliran longkang yang menjadi penyebab kepada banjir dibaiki dan diselia dengan sebaiknya seterusnya mengelak banjir berulang.

“Kita memaklumkan sudah mengenal pasti beberapa lokasi di DUN Semambu yang menjadi tumpuan berlaku banjir. Kita juga mendedahkan bahawa banjir ini berpunca daripada sistem perparitan yang lama, uzur, keadaan saliran yang cetek dan semakin mengecil,” katanya.

Mengulas lanjut, Zuraidi menjelaskan sehingga kini tiada seorang pemimpin mewakili kerajaan Pahang turun ke lapangan untuk melihat sendiri kawasan yang mereka perlu tangani berdasarkan laporan itu.

Beliau yang juga Pengurus Hal Ehwal Parlimen Indera Mahkota menambah, sikap ini memadai untuk rakyat sedar sejauh manakah nilai nyawa dan harta rakyat di mata politikus BN.

“Saya mencabar kerajaan BN untuk mengumumkan langkah dan pendekatan yang telah diambil oleh kerajaan mereka sepanjang tahun ini dalam mendepani risiko banjir yang sering melanda pada penghujung tahun.

“Sebagai parti yang prihatin rakyat, sepatutnya mereka bertungkus-lumus untuk menaik taraf sistem perparitan dan bukan mendesak pilihan raya hampir setiap hari,” kata beliau lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )