Isu PdPR: Kerajaan jangan berlagak serba tahu

Isu PdPR: Kerajaan jangan berlagak serba tahu

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mempersoalkan banyak isu yang ditimbulkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tetapi tidak pernah mendapat respons dan jawapan.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan mendakwa, Menteri Kanan dan dua Timbalannya seakan-akan mengetepikan suara rakyat, guru, ibu bapa, kesatuan guru dan masyarakat umum.

“JKPPH ingin mengingatkan Menteri Kanan dan kedua-dua Timbalannya bahawa isu-isu pendidikan sewaktu pandemik dan sewaktu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijalankan jauh daripada selesai.

“Malah, apa yang lebih mencabar lagi ialah pendidikan pasca pandemik Covid-19 yang rakyat perlukan. Kita menanti satu pelan besar dan perancangan jangka masa panjang untuk pendidikan selepas pandemik berakhir,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, JKPPH menambah, jika dilihat kepada perkongsian negara-negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran UNESCO 29 Mac lalu, pelbagai pendekatan luar kotak telah digunakan termasuk negara-negara dunia ketiga.

Dalam pada itu, JKPPH turut menggesa agar KPM berkongsi data murid cicir iaitu murid yang masih lagi tidak boleh membaca dan menulis kerana kehilangan lebih 100 hari persekolahan pada tahun lalu dan ditambah tahun ini.

“KPM perlu menyatakan pelan mereka untuk memperbaiki keadaan dan juga memulihkan murid-murid cicir ini.

“KPM juga perlu telus dengan data keberkesanan PdPR dengan menyatakan peratus kehadiran murid di dalam kelas-kelas PdPR dan juga kehadiran sewaktu sekolah dibuka sementara sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” tegasnya.

Menurut mereka, semua ini adalah demi kebaikan bersama dan langkah penambahbaikan PdPR setelah setahun dijalankan amat perlu.

“Kerajaan tidak boleh lagi berlagak dengan sikap lebih mengetahui. Usaha kolaboratif diperlukan untuk memastikan pendidikan yang terbaik dapat diberikan kepada anak-anak.

“JKPPH ingin menekankan bahawa prinsip ‘Pendidikan Berkualiti Untuk Semua’ dan ‘Pendidikan Adalah Tanggungjawab Bersama’ tidak boleh digadaikan,” katanya.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )