Isu buruh paksa: Malaysia, AS setuju cari penyelesaian

Isu buruh paksa: Malaysia, AS setuju cari penyelesaian

Pertikaian berbangkit mengenai kelapa sawit dan isu pemerdagangan manusia adalah antara perkara dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) ke atas delegasi Parlimen Malaysia.

Pertemuan tertutup diketuai Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bersama Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi itu diadakan di bangunan Parlimen hari ini.

Delegasi Malaysia diwakili beberapa wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Md Dun; Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Batang Lupar); Steven Choong (Tebrau); Fahmi Fadzil (Lembah Pantai); Lukanisman Awang (Sibuti); Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) dan Wong Chen (Subang).

Bercakap pada sidang media, Azhar berkata, Kerajaan Malaysia yakin tiada perkara mengenai isu berkenaan perlu disembunyikan, selain menafikan laporan sering diketengahkan agensi media global berkaitan perkara sama.

Selain itu, katanya, Malaysia dan AS bersetuju untuk mencari penyelesaian terbaik, selain mewujudkan situasi menang-menang bagi sebarang pertikaian membabitkan isu berkenaan.

“Saya tekankan tiada apa yang mahu Malaysia sembunyikan mengenai tuduhan dilemparkan terhadap industri kelapa sawit negara, selain berharap hubungan atau libat urus secara multilateral boleh diadakan antara AS-Malaysia, untuk cari penyelesaian menang-menang,” katanya.

Jabatan Negara AS pada 20 Julai lalu, dilapor meletakkan Malaysia di Tahap 3 laporan tahunan pemerdagangan manusia yang dilakukan ke atas 188 negara dalam aspek penguatkuasaan dan pendakwaan, pencegahan serta perlindungan.

Laporan itu mendakwa Kerajaan Malaysia tidak melakukan tindakan sewajarnya bagi menangani dakwaan berkenaan pemerdagangan buruh di negara ini, khususnya dalam industri pengeluaran kelapa sawit dan getah.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )