Ikut amalan Komanwel, parti majoriti tertinggi perlu diangkat sebagai Perdana Menteri

Ikut amalan Komanwel, parti majoriti tertinggi perlu diangkat sebagai Perdana Menteri

Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata seorang Perdana Menteri (PM) perlu dilantik bagi membentuk sebuah kerajaan minoriti jika tiada penyelesaian kukuh untuk mendapatkan sebuah kerajaan majoriti.

Mahu tak mahu beliau berkata, Yang Di-Pertuan Agong masih perlu melantik seorang Perdana Menteri walaupun mungkin partinya tidak mempunyai cukup majoriti dalam PRU15.

“Jika kita ikut amalan negara Komanwel, baginda akan lantik Perdana Menteri dalam kalangan parti yang mendapat majoriti tertinggi.

“Kalau ikut itu tradisinya, ia akan pergi ke Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana Pakatan Harapan (PH) mendapat majoriti yang tertinggi dan mewujudkan kerajaan minoriti,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, kerajaan ini kemudiannya akan diberi masa untuk membentuk kerajaan baharu atau melantik mana-mana pihak untuk bersamanya.

Katanya, Perdana Menteri baharu itu juga mempunyai pilihan untuk memasuki Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA), seperti yang berlaku pada awal pentadbiran Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Azizuddin berkata, tanpa penubuhan sebuah kerajaan baharu, Bajet 2023 juga tidak dapat dibentang di Parlimen untuk diluluskan.

“Jika hari ini Tuanku nampak tidak ada majoriti juga, mahu tidak mahu baginda perlu mengikut amalan biasa dalam negara Komanwel dengan melantik Perdana Menteri yang mendapat majoriti yang terbesar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Yang Di-Pertuan Agong tidak boleh melantik mana-mana Ahli Parlimen dengan anggapan individu itu boleh mendapat sokongan yang banyak tanpa bukti kerusi parti yang dimenangi pada PRU15.

Katanya, penggunaan surat sumpah berkanun (SD) juga boleh bertindan (duplicate), selain ia walaupun diterima pakai tetapi tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )