Hutang 1MDB dedah risiko liabiliti luar jangka kepada Malaysia

Hutang 1MDB dedah risiko liabiliti luar jangka kepada Malaysia

Hutang Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan Suria Synergy Energy Resources Sdn Bhd (SSER) tidak meningkatkan jumlah hutang kerajaan secara langsung yang kini berjumlah RM1.045 trilion atau 63.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata 1MDB, SRC dan SSER adalah entiti yang menerima jaminan kerajaan bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 atau Seksyen 14 Akta Tatacara Kewangan.

“Oleh itu, entiti ini akan memberikan pendedahan risiko liabiliti luar jangka kepada kerajaan selagi komitmen hutang entiti berkenaan belum selesai.

“Selain itu, entiti ini juga dikategorikan sebagai komitmen jaminan kerana menerima peruntukan kewangan daripada kerajaan bagi membantu dalam bayaran komitmen hutang,” katanya dalam jawapan lisan menjawab Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat.

Kah Woh bertanyakan mengenai berapa jumlah hutang negara setakat kini dan bagaimana hutang atau jaminan 1MDB, SRC dan SSER sudah menyumbang kepada hutang negara yang tinggi.

Beliau berkata, sehingga akhir Jun lalu, baki komitmen hutang 1MDB yang membabitkan bayaran prinsipal serta faedah kepada dua bon dan satu sukuk adalah sebanyak RM32.08 bilion, dengan andaian kadar tukaran wang asing untuk AS$1 bersamaan RM4.50.

“Sementara baki komitmen hutang SSER yang membabitkan bayaran prinsipal dan faedah berjumlah RM8.78 bilion, dengan andaian kadar tukaran wang asing untuk RMB1 bersamaan RM0.6588.

“Bagaimanapun, komitmen hutang SRC sudah pun selesai pada 28 Mac 2022,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )