HIMPUNAN BARANG NAIK: 9 pemimpin AMANAH hadir beri keterangan

HIMPUNAN BARANG NAIK: 9 pemimpin AMANAH hadir beri keterangan

Susulan penganjuran Himpunan Barang Naik oleh Biro Mobilisasi dan Biro Pengguna di hadapan Masjid Jamek, sejurus selesai solat Jumaat, 1 Julai lalu, seramai enam pemimpin politik hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini untuk dirakam keterangan.

Kesemua individu tersebut yang merupakan pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) hadir bersama Peguam masing-masing sekitar jam 9.50 pagi.

Antara yang hadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Ir Izham Hashim; ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan; Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari; Ketua Wanita Muda AMANAH, Nurthaqaffah Nordin dan wakil Angkatan Wanita AMANAH, Anfal Saari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kesemua individu terbabit dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Secara keseluruhan seramai sembilan individu telah dirakam keterangan termasuk Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda yang telah dipanggil pada Sabtu dan Ahad lalu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, seorang lagi individu iaitu Setiausaha Agung AMANAH merangkap Ahli Parlimen Lumut, Datuk Mohd Hatta Md Ramli akan hadir ke IPD Dang Wangi untuk dirakam keterangan, Rabu ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )