Hentikan menuding jari kepada Anwar

Hentikan menuding jari kepada Anwar

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Halimey Abu Bakar membuat penegasan bahawa setiap keputusan yang dicapai dalam Pakatan Harapan (PH) adalah secara konsensus dan bukannya individu.

Berikutan itu katanya, adalah sangat tidak wajar mana-mana pimpinan PH menuding jari kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Halimey berkata, PH sebaliknya perlu melakukan perubahan khususnya dalam strategi memenangi hati pengundi luar bandar dan anak muda yang dilihat menjadi antara faktor kekalahan dalam PRN berkenaan.

“Pesanan ikhlas buat semua pimpinan parti komponen agar lebih berhati-hati dan berhemah dalam mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.

Halimey berkata demikian sebagai maklum balas terhadap gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut dari DAP, Lee Chin Chen yang mendesak Anwar berundur daripada menerajui gabungan parti pembangkang itu susulan kekalahan teruk PH pada PRN Melaka, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Halimey yang juga ADUN Seri Setia turut mengingatkan Chin Chen agar dapat menghormati pimpinan utama PH dan memelihara hubungan sesama parti komponen.

“Peliharalah hubungan sesama parti komponen PH dan janganlah sampai anda dijadikan alat oleh musuh,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )