Hanya orang tidak waras sokong PRU waktu banjir

Hanya orang tidak waras sokong PRU waktu banjir

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Kar Hing menuntut UMNO menjawab beberapa persoalan penting sekiranya mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika musim banjir pada penghujung tahun ini.

Menurut beliau, persoalan utama itu melibatkan pengurusan banjir dan perjalanan pilihan raya semasa tempoh tersebut.

“Jika musim banjir benar berlaku seperti ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), UMNO wajib jawab beberapa soalan. Pertama, adakah pusat mengundi ini akan dijadikan pusat pemindahan untuk mangsa-mangsa banjir jika banjir benar-benar berlaku?

“Kedua, anggota keselamatan ditugaskan waktu PRU perlu menjaga kelancaran perjalanan pilihan raya atau turun padang selamatkan nyawa dan harta benda rakyat?” soal beliau dalam satu kenyataan.

MetMalaysia meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Kar Hing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai berkata, hanya orang tidak waras akan menyokong tindakan mengadakan PRU ketika waktu banjir.

“Kita juga faham naratif yang cuba dimainkan oleh BN dan UMNO adalah Pakatan Harapan takut kalah kalau PRU diadakan. Bagi saya ini bukan soal kalah atau menang, tapi soal kita pentingkan kuasa atau nyawa,” tegas beliau.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )