Hak PEJUANG dan MUDA dinafikan PN

Hak PEJUANG dan MUDA dinafikan PN

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semalam telah menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Dilaporkan, ROS telah menghantar surat penolakan pendaftaran kepada kedua-dua parti itu lewat petang semalam.

Perkara tersebut disahkan oleh peguam Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali seperti dilaporkan theedgemarkets, yang memaklumkan bahawa mereka menerima surat dari ROS pada pukul 5.45 petang semalam.

Pada Disember tahun lalu, Pejuang telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan ROS yang masih belum meluluskan

Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi menerusi firma guaman Tetuan Haidir & Co dengan menamakan Ketua Pengarah ROS dan ROS sebagai responden pertama dan kedua.

Muda Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, penolakan pendaftaran parti itu disampaikan melalui satu emel pada Rabu setelah hampir empat bulan menghantar permohonan.

“Kami kecewa dengan penolakan ini. Di pihak Muda, kami telah memberi kerjasama penuh kepada RoS dan mematuhi segala syarat untuk pendaftaran.

“Oleh itu, tiada sebab kukuh untuk RoS menolak pendaftaran kami,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendaftarkan parti baharu itu dengan RoS pada 17 September lalu selain surat peguam berkaitan isu pendaftarannya telah diserahkan pada 21 Disember lepas.

Dalam pada itu, Muda Malaysia berkata, kebebasan berpersatuan dan hak untuk mengambil bahagian dalam proses demokratik negara adalah hak asasi setiap warganegara Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan.

Namun begitu katanya, hak tersebut telah dinafikan pihak kerajaan TEBUK ATAP.

“Ini adalah usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghalang kami daripada mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“Langkah ini juga melanggar hak berperlembagaan kami untuk membentuk persatuan. Kita menuntut bahawa kerajaan ini bertanding dalam pilihan raya akan datang dengan adil, tulus dan bersih serta tidak menggunakan taktik licik dan kotor,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Muda Malaysia mendakwa, penolakan tersebut juga sehari selepas pembongkaran skandal keluarga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman berhubung projek Transit Aliran Ringan (LRT) Dang Wangi.

Sehubungan itu, bergerak ke depan, Muda Malaysia akan mempertimbangkan segala pilihan yang sedia ada termasuk tindakan mahkamah.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )