H2O sekali lagi nafi terlibat dalam PAS Leak

H2O sekali lagi nafi terlibat dalam PAS Leak

Ahli Parlimen Sembrong, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein (H2O) sekali lagi menegaskan tidak pernah terlibat dalam sebarang perancangan pembentukan kerjasama bersama PAS seperti didakwa dalam dokumen sulit ‘PAS Leak’.

Dalam ruangan komen di Facebook bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak menegaskan, beliau telah membuat kenyataan menafikan keterlibatannya dalam sebarang rancangan seperti yang didakwa.

“Untuk makluman Dato’ Sri, saya telah pun menafikan report ‘PAS Leak’ ini yang mula tular pada bulan April tahun ini seperti berikut,” sambil meletakkan pautan kenyataannya pada April lalu.

Hantaran di laman Facebook Najib pada Jumaat menamakan beberapa individu yang dituntut memberi penjelasan atau membuat laporan polis sekiranya kandungan dokumen berkenaan adalah palsu.

Hantaran tersebut menamakan Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung PAS); Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air); Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO); Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman (UMNO); Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU) dan Dato’ Seri Hamzah Zainudin (Setiausaha Agung BERSATU).

Sebelum ini, tular menerusi media sosial beberapa keratan dokumen kandungan minit mesyuarat melibatkan sebilangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) merancang strategi menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim juga menyatakan polis telah membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti laporan diterima daripada pengadu berkaitan dokumen ‘PAS Leak’ yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin PAS.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )