Grand Coalition: Pastikan yang dikendong tidak berciciran

Grand Coalition: Pastikan yang dikendong tidak berciciran

Formula politik gabungan besar pembangkang atau disebut sebagai ‘grand coalition’ tidak harus dihadkan kepada 108 Ahli Parlimen menolak Belanjawan 2021.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, gabungan besar bagi menguatkan pakatan pembangkang itu harus direalisasikan dengan semaksimum mungkin.

Tegasnya, jumlah 108 anggota Dewan Rakyat itu harus dimaksimumkan tanpa had bagi memastikan nasib rakyat terbela.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu berkata demikian ketika ditemui semasa Konvensyen AMANAH Nasional di Bayou Lagoon Resort, Bukit Katil, Melaka kelmarin.

“Yang penting ialah parti-parti dalam gabungan besar tersebut harus memahami agenda sebenar yang hendak dibawa dalam reformasi yang akan dibawa melalui ‘grand coalition’ tersebut.

“Kita juga tidak meletakkan had dengan satu jumlah angka tertentu, sebaliknya berusaha sedaya mungkin bagi mendapatkan sokongan melalui gabungan yang direncanakan kepada siapa sahaja yang menganggotai Parlimen.

“Paling mustahak ialah kita bertanggungjawab bagi mendapatkan sokongan mereka dengan mendokong agenda reformasi yang sedang dilaksanakan supaya perubahan tersebut menjadi realiti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

Mujahid turut berkata, hasrat untuk menambahkan jumlah Ahli Parlimen yang menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu dicapai tanpa berlakunya keadaan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Pada 14 Disember lalu, Belanjawan 2021 yang dibaca untuk kali ke-3 diluluskan dengan 111 ahli Parlimen menyokong, 108 menentang dan seorang tidak mengundi.

Sebanyak 92 daripada 108 menentang itu merupakan Ahli Parlimen PH. Jumlah 108 Ahli Parlimen yang menentang PN adalah angka sama yang kekal teguh bersama PH pada Mac lalu.

Makluman: Artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi JOMChannel.Net

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )