Gencatan Politik: Game Over untuk Muhyiddin, bukan Anwar!

Gencatan Politik: Game Over untuk Muhyiddin, bukan Anwar!

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tidak pernah melihat gecatan politik itu ada kaitan dengan PAKATAN HARAPAN.

Menurut beliau perbalahan kedua parti ini berlaku kerana UMNO merasa dirinya ‘dibuli’ parti ‘budak baharu’ yang cuba berlagak macam ‘Abang Long Kawasan’.

“UMNO dan BERSATU macam budak kecik bergaduh, mereka ungkit mengungkit antara satu sama lain, ugut mengugut dan perli memerli sehingga hubungan retak mereka kini menanti belah, ujar Naib Presiden AMANAH itu dalam tulisannya.

Beliau berkata gencatan politik ini adalah antara 2 entiti parti yang sebenarnya nak jaga ‘kawasan’ masing-masing supaya ada ruang mereka nak ‘berunding’ untuk kekal kuasa masing-masing dan jaga budak-budak mereka di bawah.

Gencatan politik kerana COVID-19 hanyalah taktik mengalih perhatian, sedangkan secara realitinya keduanya sedang berpolitik untuk tawar menawar posisi dan agih mengagih kuasa sesama mereka.

“Sebab itu saya rasa nak ketawa apabila seluruh Malaysia percaya satu gencatan politik kononnya sedang berlaku.

“Saya juga tersenyum melihat sesetengah orang di medsos (media sosial) menyatakan rasa lega sebab kini negara boleh tumpu kepada urusan covid dan bukan politik

Secara sinis Mujahid berkata itulah bijak dan hebatnya orang politik meyakinkan orang ramai mereka tidak berpolitik, dengan hanya menggunakan perkataan ‘GENCATAN POLITIK’.

“Tiba-tiba dalam hal ini, ada yang kata ‘game over’ untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bila masa Datuk Seri Anwar Ibrahim ada dalam sifir perbalahan dua parti ni? Datuk Seri Anwar Ibrahim ada PAKATAN HARAPAN yang berada dalam keadaan solid dan padu,” tegasnya.

“Apakah boleh kita kata game over untuk Anwar atau sebenarnya game over untuk Muhyiddin?” soalnya.

Beliau bertegas, bahawa salah satu fokus untuk pengurusan krisis COVID-19 ialah menukar PERIKATAN NASIONAL dan seluruh kabinetnya yang telah menjejaskan kepercayaan rakyat kepada usaha kerajaan menangani COVID-19.

“Saya akan ulangi sekali lagi apa yang telah saya nyatakan sebelum ini, “tiada gencatan politik kepada teras demokrasi yang dipandu perlembagaan dan undang-undang di mana politik terbina di atas tapaknya”

“Majoriti yang kukuh, kerajaan yang kuat serta kepercayaan rakyat yang padu adalah seruan untuk pengendalian krisis covid yang lebih berkesan,” kata Mujahid.

“Negara lebih besar dari perbalahan 2 ‘Abang Long Kawasan’ dan sebab itu kita wajib memelihara demokrasi dan prosesnya supaya negara mendapat yang terbaik untuk menguruskan krisis COVID-19.”

Justeru, tidak perlu kita terkesima dengan acah-acah GENCATAN POLITIK ini.

Teruskan usaha untuk mendapatkan semula mandat rakyat yang telah dikhianati kumpulan yang kononnya sedang melakukan GENCATAN POLITIK.

Makluman: Artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi JOMChannel.Net

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )