Gelaran ‘abang besar’ kepada China: Hishammuddin meletakkan Malaysia taraf boneka asing

Gelaran ‘abang besar’ kepada China: Hishammuddin meletakkan Malaysia taraf boneka asing

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein yang menggelar China “abang besar” kepada Malaysia sebagai satu penghinaan terhadap pendirian tidak berpihak negara ini.

Anwar berkata, meskipun China negara sahabat dan segala usaha perlu dibuat bagi meningkatkan kerjasama perdagangan serta pelaburan dengannya, bahasa sebegitu tidak sepatutnya digunakan dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa.

“Ini bukan bahasa dan gaya yang sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa kerana ia seolah meletakkan taraf Malaysia kepada hanya sebagai boneka asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang selesai melakukan lawatan dua hari ke China, menggelarkan China sebagai “abang besar” kepada Malaysia dalam satu sidang media bersama rakan sejawatnya Wang Yi.

Wan Yi membalas kenyataan itu dengan berkata “Kita adik-beradik (We are brothers)”. Pertukaran itu dilaporkan oleh media nasional China.

Anwar berkata tindakan Hishammuddin itu bertentangan daripada pendirian diplomasi antarabangsa yang diamalkan Malaysia sejak berdekad lamanya.

Katanya sebagai negara yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia, kenyataan beliau itu jelas suatu bentuk penghinaan terhadap negara kita sendiri.

 

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )