Fokus isu kos sara hidup rakyat, keutamaan Anwar

Fokus isu kos sara hidup rakyat, keutamaan Anwar

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menekankan, isu kos sara hidup, khususnya berkaitan harga barangan yang semakin menghimpit kehidupan rakyat Malaysia ketika ini, menjadi keutamaan pentadbiran beliau.

Katanya, walaupun kekuatan ringgit serta Bursa Saham menunjukkan perkembangan positif berikutan pembentukan kerajaan baharu kini, pihaknya tetap mahu memfokus kepada aspek kos sara hidup dan mencari jalan penyelesaiannya.

“Saya masih berasa keutamaan harus diberikan terhadap kos sara hidup dan harga barangan yang mencengkam serta menekan kehidupan rakyat.

“Saya akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkenaan dalam masa terdekat. Jika tidak keberatan, mohon adakan pertemuan pada hujung minggu atau Isnin ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Anwar memaklumkan melalui perbincangan itu kelak, pihaknya berharap suatu tindakan segera akan dapat dimuktamadkan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, pihaknya percaya Pegawai jabatan dan agensi berkaitan komited untuk sama-sama mencari jalan meringankan beban dihadapi rakyat, terutama pada peringkat bawah.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )