Final Award Dr. Stampa tidak sentuh isu pengambilan wilayah Sabah

Final Award Dr. Stampa tidak sentuh isu pengambilan wilayah Sabah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa ‘Final Award’ dikeluarkan Dr Gonzalo Stampa 28 Februari lalu tidak menyentuh isu pengambilan wilayah negeri Sabah atau kedaulatan negeri itu oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Itu merupakan antara perkara dinyatakan pada mesyuarat pertama Pasukan Khas Bagi Menangani Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu Terhadap Kerajaan Malaysia yang diadakan pada 3 Ogos lalu.

Wan Junaidi berkata, perkara lain turut dibincangkan pada pertemuan itu adalah berkaitan tindakan undang-undang diambil Kerajaan Malaysia di Sepanyol dan Perancis bagi menangani tuntutan tersebut.

“Selain daripada itu, isu pembayaran wang serahan yang berjumlah 5,300 dolar setahun turut dibincangkan,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat tersebut dalam satu kenyataan.

“Kerajaan juga telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan Exequatur Order dan seterusnya permohonan bagi menggantung penguatkuasaannya.

Tambah beliau, permohonan Kerajaan bagi menggantung penguatkuasaan Exequatur Order tersebut telah dibenarkan oleh Mahkamah Perancis pada 16 Disember 2021.

Seterusnya, Kerajaan telah membuat permohonan membatalkan Final Award yang dikeluarkan oleh Dr Stampa pada 28 Februari 2022 dan juga permohonan bagi menggantung penguatkuasaan Final Award tersebut di Mahkamah Perancis.

Wan Junaidi berkata, permohonan tersebut telah dibenarkan oleh Mahkamah Perancis pada 12 Julai lalu.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan tindakan sedang dilaksanakan termasuk penubuhan Pasukan Khas itu adalah komitmen Kerajaan untuk memastikan strategi terbaik dilakukan bagi menangani isu tuntutan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia.

“Secara umumnya, Kerajaan akan memastikan kemenangan demi kepentingan negara dan kedaulatan negara tetap terpelihara.

“Kerajaan juga yakin bahawa semua tindakan dan strategi yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menangani isu ini akan membuahkan hasil yang positif dengan sokongan semua pihak khususnya rakyat Malaysia,” jelas beliau.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )