Faiz Fadzil hadapi pertuduhan mencabul

Faiz Fadzil hadapi pertuduhan mencabul

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil didakwa di Mahkamah Majistret, atas tuduhan melakukan serangan seksual bagi mencabul kehormatan seorang jurujual wanita.

Muhammad Faiz, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik Pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, semalam.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, yang mengendalikan kes itu ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Faiz didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun, antara jam 9.45 dan 11.30 malam, pada 8 Mac lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu ketika berada dalam sebuah kereta dari pusat beli-belah Sunway Pyramid ke Subang Jaya dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )