Elak undi percaya Mahiaddin tanda wujudnya ‘kepalsuan politik’

Elak undi percaya Mahiaddin tanda wujudnya ‘kepalsuan politik’

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada Isnin sebagai satu ‘kepalsuan politik’ apabila tiada sebarang usul akan dibentang sekali gus sukar untuk menentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti atau sebaliknya.

Beliau berkata, langkah menghalang Ahli Parlimen mengemukakan usul itu menyebabkan sebarang pengundian tidak akan dilakukan termasuk terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yasin.

Justeru, beliau melihat semacam wujud kepalsuan politik dari segi kedudukan terhadap Mahiaddin Yasin kerana tiada pengundian.

Justeru, beliau menggesa agar 220 Ahli Parlimen daripada pembangkang dan kerajaan dibenarkan mengikuti sesi persidangan kali ini bagi membolehkan perbincangan berhubung Covid-19 dilakukan lebih baik dan seterusnya mencapai matlamat.

“Semua Ahli Parlimen sudah divaksin, jadi apa salahnya dibenarkan semuanya bersidang bersama. Malah pelbagai langkah keselamatan termasuk cermin penghadang sudah dilakukan selain proses nyah cemar yang kerap dilakukan.

“Sekiranya beratus-ratus penerima vaksin yang belum divaksin pun boleh berkumpul di ribuan lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara, mengapa semua Ahli Parlimen yang sudah lengkap dos vaksin tidak boleh berkumpul,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dilaporkan berkata, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan mencadangkan sidang Dewan Rakyat yang bermula 26 Julai ini, dihadkan kepada hanya 80 Ahli Parlimen dalam satu sesi persidangan secara bersemuka, manakala bakinya menyertai secara maya.

Mohd Rashid berkata, jawatankuasa terbabit akan mencadangkan setiap sesi persidangan dihadiri seramai 44 ahli Parlimen kerajaan dan 36 ahli Parlimen pembangkang.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )