DUN Pulau Pinang tidak akan dibubar sewaktu banjir

DUN Pulau Pinang tidak akan dibubar sewaktu banjir

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serentak peringkat Persekutuan jika ia diadakan semasa musim tengkujuh yang biasanya membawa hujan lebat dan banjir.

“Kalau buat (PRU15) bukan dalam musim tengkujuh, itu cerita lain, tapi kalau semasa musim berkenaan, kami tidak buat pilihan raya negeri serentak kerana ia berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri sebelum ini pernah memberi jaminan ia mungkin memanggil pilihan raya serentak dengan peringkat Persekutuan, jika proses mengembalikan mandat rakyat itu dibuat pada penghujung tahun ini.

Katanya, ketika itu kerajaan negeri berpendirian akan ikut mengadakan pilihan raya negeri serentak peringkat Persekutuan jika pembubaran Parlimen dibuat ketika sudah menghampiri penghujung penggal penuhnya, tanpa mengambil kira ia diadakan dalam musim hujan atau tidak.

“Sudah tentu sekarang, dengan BN begitu bertekad mahu PRU awal walaupun ketika musim tengkujuh, saya pasti ramai mengkritik keputusan itu. Sudah tentu musim tengkujuh tidak sesuai untuk kempen pilihan raya dan proses pengundian.

“Apa akan jadi kalau banjir semasa hari pengundian? Kalau bencana itu berlaku pada hari kempen, kita boleh terima kerana ada banyak hari untuk berkempen, tapi apa akan jadi kalau banjir pada malam sebelum hari pengundian?

“Bagaimana pengundi nak keluar gunakan hak mereka sekiranya terpaksa berdepan situasi hidup atau mati apabila rumah mereka tenggelam. Malah, pusat pengundian pun boleh terjejas, macam mana nak pergi mengundi di pusat pengundian yang ditenggelami banjir?,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )