DUN Johor bakal dipandang serong, tolak tubuh Jawatankuasa Khas Anti Lompat Parti

DUN Johor bakal dipandang serong, tolak tubuh Jawatankuasa Khas Anti Lompat Parti

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini, menolak rundingan cadangan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi enakmen Anti Lompat Parti.

Speaker DUN, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memaklumkan, seramai 37 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak bersetuju manakala 13 ADUN bersetuju setelah undian dijalankan.

Sebelum itu, usul berhubung cadangan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi enakmen Anti Lompat Parti di peringkat DUN dikemukakan Marina Ibrahim (PH-Skudai).

Dua ADUN PH iaitu Amira Aisya Abd Aziz (Muda- Puteri Wangsa) dan Arthur Chiong Sen Sern (PKR- Bukit Batu) tampil berbahas menyatakan sokongan manakala dua ADUN BN iaitu Anuar Abd Manap (Pemanis) dan Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) pula membantah cadangan tersebut.

Amira Aisya berkata, sekiranya tiada usaha dari DUN Johor untuk mengusulkan enakmen Anti Lompat Parti diluluskan, rakyat akan memandang serong dan berputus asa terhadap masa depan negeri.

“Tidak perlu saya ulang lagi tragedi lompat-melompat yang telah berlaku sejak dua tahun lepas.

“Kerajaan Johor yang lepas telah acap kali berjanji untuk meneliti enakmen Anti Lompat Parti ini. Dalam kempen Ikhtiar Reformasi Politik, saya masih ingat, ini perkara utama yang dibangkitkan mereka.

“Tidak boleh tangguh atau lengahkan. Semua ADUN Johor harus sepakat untuk tolak politik lompat melompat dan beri sokongan kepada enakmen ini,” katanya.

Sementara itu, Anuar berkata, pelaksanaan enakmen berkenaan cukup penting namun berpandangan penubuhan jawatankuasa khas bagi menkajinya suatu pembaziran kewangan dan masa.

 

“Ia boleh diangkat dan dibawa ke peringkat negeri selepas diwartakan dan saya berasakan masih ada banyak lagi rundingan yang membawa manfaat boleh dibahaskan di dewan ini,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )