Dewan Ulama PAS dakwa Zahid sengaja kelirukan rakyat

Dewan Ulama PAS dakwa Zahid sengaja kelirukan rakyat

Dewan Ulama PAS mendakwa Ahmad Zahid Hamidi berniat mengelirukan orang awam dengan memberikan pandangan sinis terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung isu pemberian wang kepada pengundi.

Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya berkata terdapat perbezaan yang jelas di antara amalan rasuah, politik wang dan pemberian sedekah khususnya ketika kempen pilihan raya berjalan.

Menurut Ahmad, Abdul Hadi memang tidak pernah berdolak-dalik dengan pandangannya.

“Apa yang dijelaskan itu telah nyata. Ia tiada kaitan dengan usaha menghalalkan amalan rasuah sebagaimana yang cuba ditohmah oleh Ahmad Zahid.

“Malangnya, Ahmad Zahid sengaja memutarbelitkan kenyataan tersebut supaya mereka dapat membakulkan rasuah dan sedekah dalam satu bahagian yang sama,” katanya.

Dia yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menambah, Ahmad Zahid sepatutnya lebih arif untuk membezakan di antara elemen rasuah dan politik wang yang merosakkan masyarakat, dengan pemberian sedekah.

“Namun, malangnya dia kelihatan masih keliru dan mengelirukan orang lain,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Kenyataan Ahmad itu adalah respon balas terhadap kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai hipokrit dalam isu pengagihan wang tunai oleh partinya kepada pengundi semasa pilihan raya umum lalu dengan mendakwa ia adalah sedekah, justeru tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Abdul Hadi dilaporkan berkata peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed menyifatkan isu tersebut sengaja disensasikan oleh kepimpinan BN dan PH selepas Abdul Hadi diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU ke-15 di kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )