DARURAT: Talian hayat Muhyiddin, pukulan maut ekonomi rakyat.

DARURAT: Talian hayat Muhyiddin, pukulan maut ekonomi rakyat.

Beberapa minggu lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan PN beliau menangani wabak Covid 19 dengan cemerlang dengan pasukan perubatan yang hebat dan terbaik.

Namun, sehari dua ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan cadangan Perdana Menteri yang diluluskan oleh kabinet mengesyorkan darurat diisytiharkan oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong kerana Covid 19.

Tidak mungkin dalam sekelip mata keadaan pengurusan untuk menangani Covid 19 bertukar dari cemerlang boleh berubah menjadi situasi darurat di bawah pasukan yang sama. Lagipun penularan yang teruk sebahagian besarnya hanya tertumpu di Sabah dan satu dua tempat tertentu sahaja di Semenanjung.

Perlu diingat, langkah Muhyiddin yang cuba merampas kuasa di Sabah dengan cara membeli Adun dari Warisan tetapi ia telah digagalkan oleh Tuan Yang di Pertua Sabah yang langsung menyebabkan berlakunya PRN Sabah.

Selepas PRN Sabah, pasukan luar Sabah yang berkempen disana telah menyebabkan merebaknya Covid 19 ke semenanjung. Muhyiddin perlu memikul sebahagian besar dari tanggungjawab ini sebagai pencetus PRN Sabah tersebut.

Kini, setelah situasi penularan Covid-19 di sesetengah tempat semakin bertambah, Muhyiddin pula yang mengesyorkan pengistiharan darurat. Namun benarkah syor darurat ini semata kerana Covid-19.

Apa yang dapat dilihat, motif utama Muhyiddin bukan untuk menyelamatkan rakyat dari Covid tetapi untuk talian hayat politiknya sendiri bagi meneruskan kerakusan untuk berkuasa seperti ditunjukan di Sabah dan terus menjadi Perdana Menteri.

Yang mencadangkan darurat dilaksanakan dalam mesyuarat kabinet dilaporkan adalah Azmin Ali dari Bersatu, yang bercita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin.

Yang menyokong cadangan tersebut adalah YB Takiyuddin dari PAS. Menteri dari PAS jugalah yang telah melanggar peraturan kuarantin Covid 19 selepas pulang dari Turki tanpa dikenakan hukuman sepatutnya.

Cukup ironi apabila pencetus segala masalah hari ini pula yang mencadangkan hak rakyat melalui ahli Parlimen disekat dengan darurat dengan parlimen di gantung.

Apakah sandiwara ‘Abah’ Muhyiddin yang kononnya mahu menyelamatkan Malaysia melalui darurat takkala beliaulah pencetus PRN Sabah yang mengakibatkan Covid merebak lebih luas?

Muhyiddin jugalah yang tidak serius dengan SOP Covid dengan tidak mengenakan hukuman sepatutnya ke atas menterinya yang melanggar peraturan kuarantin sementara rakyat biasa didenda dan dipenjarakan serta ugutan dirotan.

Jadi kalau peraturan biasa pun tidak diambil berat oleh Muhyiddin serta menteri, untuk apakah sebenarnya undang-undang darurat yang boleh merosakan ekonomi negara akan diadakan melainkan bertukuan hanya untuk menyelamatkan kuasanya sebagai Perdana Menteri semata mata.

Kita telah melihat undang undang  hanya untuk menghukum rakyat biasa yang lemah tetap menteri terlepas dari hukuman.

Undang-undang darurat lebih lagi akan digunakan untuk menindas rakyat marhaen sementara para menteri akan terus bermaharajalela dengan angkuh.

Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Mahathir, Mohamad Hassan, Tony Thomas bekas peguam negara dan begitu ramai lagi tokoh negara bersependapat yang darurat ini talian hayat yang akan menyelamatkan Muhyiddin dan akan menjahanamkan ekonomi Malaysia yang sedang parah.

Kami berdoa semoga Mesyuarat Raja Raja yang akan membincang isu ini akan boleh  mendapat pandangan nasihat dari DYMM Sultan Nazrin yang arif dengan undang-undang perlembagaan dan juga Tengku Razaleigh Hamzah yang merupakan ahli Parlimen yang paling lama dan amat arif peraturan Dewan Rakyat.

Semoga Allah kurniakan kebijaksanaan kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong dan Raja Raja kita dan semoga Allah selamatkan  Malaysia, InsyaAllah.

 

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Pengerusi

AMANAH Negeri Terengganu

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )