Darurat nafi kebebasan sivil

Darurat nafi kebebasan sivil

Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) berkata, artikel 150 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan tiada keperluan untuk memberikan kuasa eksekutif kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diumumkan pada malam sebelumnya.

Menurutnya, ini adalah perkara yang amat membimbangkan kerana tiada lagi sebarang mekanisme semak dan imbang dalam kerajaan.

Pertubuhan CSO for Reform itu juga menuntut agar kerajaan menegakkan hak asasi manusia serta tidak menggunakan Covid-19 sebagai alat membenarkan darurat bagi melemahkan demokrasi dan kebebasan sivil.

Mereka juga mendesak kerajaan untuk tidak mengutamakan oportunisme politik dan sebaliknya memberi tumpuan untuk melandaikan lekuk Covid-19 dengan langkah-langkah yang ada.

Selain itu, mereka menggesa orang ramai untuk turut menunjukkan perasaan tidak puas hati secara atas talian terhadap tindakan yang dimulakan oleh Perdana Menteri dengan menyertai kempen menggunakan tanda pagar #BantahDaruratMuhyiddin.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir mengingatkan kerajaan agar tidak menjadikan proklamasi darurat sebagai hal yang boleh membahayakan demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara.

Ini kerana katanya, hampir tidak ada mekanisme yang bertindak sebagai semak dan imbang terhadap kuasa kerajaan susulan penggantungan Parlimen sepanjang tempoh darurat.

Rakyat semua perlu celik mata, mana yang baik dan mana yang buruk. Ini negara kita, kita kongsi secara bersama, kita daulatkan undang-undang dan kita sanjungi perlembagaan. Sesuatu yang sah dari sudut perlembagaan, kita sebagai rakyat, berhak bersuara.

Namun apabila seorang Perdana Menteri kerajaan yang dibina melalui rampasan kuasa dan bukan melalui mandat rakyat atau pilihanraya mengumumkan Darurat demi menyelamatkan lehernya, itu tidak adil kepada rakyat, demokrasi dan kebebasan sivil. Hak rakyat usah sesekali dinafikan.

Dun dan Parlimen digantung membawa maksud yang cukup jelas bahawa Muhyiddin ingin menguasai kerajaan tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Keputusan yang dibuat untuk rakyat dan negara tidak akan melalui semak dan imbang. Ia sangat merbahaya untuk sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )