Dakwaan Khairuddin tidak berasas

Dakwaan Khairuddin tidak berasas

Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan dakwaan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bahawa Pakatan Harapan (PH) mengetepikan parti pembangkang lain berkenaan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan kerajaan tidak berasas.

Sebaliknya beliau berkata, pimpinan tertinggi PH telah berbincang dengan semua pimpinan parti pembangkang yang lain berkenaan proses rundingan dengan kerajaan.

Ahad lalu katanya, satu taklimat khas telah disampaikan oleh pimpinan tertinggi PH kepada Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkenaan isi kandungan MoU (perjanjian persefahaman) tersebut.

“Wakil Parti Warisan juga dijemput untuk taklimat namun mereka tidak hadir.

“Kami difahamkan Parti Pejuang dan Warisan belum bersedia untuk menandatangani MoU tersebut dengan kerajaan. PH menghormati pendirian mereka tetapi tidak bermaksud kita tidak boleh bekerjasama dalam isu yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Anthony berkata, PH akan terus bekerjasama dengan semua Ahli Parlimen blok pembangkang dalam isu di Parlimen termasuk melibatkan Ahli Parlimen Pejuang, Warisan dan Bebas dalam Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas (Special Select Committee) baharu yang bakal ditubuhkan.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )