Cadangan Tun M ditolak PH

Cadangan Tun M ditolak PH

Cadangan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditolak Pakatan Harapan (PH)

Perkara itu ditegaskan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi satu kenyataan bersama sebentar tadi.

Mereka berkata, cadangan itu ditolak berdasarkan pendirian konsisten PH bahawa darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula.

Kata mereka lagi, ia juga kerana PH merupakan sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen.

“Majlis Presiden PH mengambil maklum cadangan Dr Mahathir mewujudkan Mageran untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara pada waktu ini, terutama berkait Covid-19.

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi malahan politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen,” menurut mereka dalam kenyataan itu.

Dr Mahathir pada Khamis membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 iaitu Mageran ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan berkenaan dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara kesan penularan Covid-19.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )