Buang ego, pembangkang perlu kembali bersatu!

Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak, Syazmir Hariz Noorazalan berkata kesemua pemimpin blok pembangkang perlu bersatu bagi membentuk gabungan yang menggantikan kerajaan sedia ada.

“Kesemua ahli politik yang tidak bersetuju dengan usaha ini (darurat) termasuk sebahagian ahli Parlimen Umno antaranya Tengku Razaleigh Hamzah pastinya memikirkan soal rakyat yang sedang tersepit,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Blok oposisi pada masa ini terdiri daripada Pakatan Harapan (KEADILAN, AMANAH dan DAP). Mereka membentuk gabungan pembangkang terbesar dengan 91 kerusi Parlimen, manakala Warisan (8) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 19 kerusi. Jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki kesemua parti terbabit sebanyak 118 kerusi.

Selain itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) juga turut bersama sebagai pembangkang. Sebelum ini PEJUANG yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pihaknya tidak mahu mengadakan kerjasama dengan KEADILAN. Dalam pada itu bekas Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini memimpin sebuah parti bernama MUDA.

Syazmir berharap ahli Parlimen pembangkang mengenepikan sentimen politik masing-masing. Beliau melihat, sikap tersebut dapat membentuk satu pakatan baharu yang kukuh dan ampuh demi membina sebuah kerajaan yang boleh berfungsi dengan baik dan stabil.

“Semuanya demi kelangsungan rakyat yang sedang ditimpa musibah besar,” tegasnya.

Sekarang pemimpin akar umbi anak muda bersuara mengajak pemimpin atas kembali BERSATU ketika lawan sedang luka parah. Apa yang kita ada berdekatan harus kita terus dakap, sementara yang jauh kita kunjungi, walaupun bukan secara fisikal.

Buang semua ego pada diri.  Keikhlasan perlu ditunjukkan dengan perbuatan, bukan dengan kata-kata. Ingat kita kalahkan BARISAN NASIONAL dahulu kerana mereka dalam keadaan kucar-kacir. Kali ini pun, pengganti BARISAN NASIONAL, iaitu PERIKATAN NASIONAL juga dalam keadaan lemah.

Maka kali ini kita harus mengumpulkan kekuatan.

Makluman: Artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi JOMChannel.Net

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )