BN perlu sokong PH perbaiki negara

BN perlu sokong PH perbaiki negara

Para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) diajak untuk bekerjasama melawan ektremis agama dan kaum sebagaimana saranan yang diberikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Sebagai permulaan, BN perlu bersama-sama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, dan bekerja bersama ke arah itu sebagai kerajaan.

“UMNO dan PH perlu mengenalpasti apa ancaman terbesar kepada negara dan kepada UMNO sendiri sekarang sebagaimana yang berlaku dalam pilihan raya umum baru-baru ini, iaitu mendadaknya sentimen ektremis agama dan kaum.

“Apa yang berlaku di kalangan pengundi anak muda ini sangat bahaya kepada masa depan negara yang bersifat majmuk dan perlu dihentikan.

“Ia hanya boleh dilakukan dengan PH dan UMNO bersama-sama duduk dalam kerajaan dan merangka pendekatan bersama bukan menjadi pembangkang,” kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad.

Khalid juga berpendapat, jika BN mahu menghormati mandat rakyat, mereka perlu membantu Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PH mendapat kerusi dan undi terbanyak.

“Bagi saya, kalau UMNO berpendirian berdasarkan kehendak rakyat, mereka kena hormat keputusan rakyat memberikan kerusi dan undi terbanyak kepada PH.

“Untuk melaksanakan perkara ini, UMNO boleh membantu menunaikan hasrat rakyat ini dengan membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri dengan menyokong pencalonan beliau,” kata Khalid.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )