Blok jumlah kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat wajar diberi peluang

Blok jumlah kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat wajar diberi peluang

Ahli Majlis Pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil berkata, mengikut convention Westminster, parti memperoleh kerusi terbanyak dan terbesar perlu diberikan peluang terlebih dahulu untuk membentuk kerajaan.

Ini kerana katanya, blok parti terbabit mendapat sokongan terbanyak melalui jumlah kerusi malah mempunyai jumlah undi popular yang terbanyak.

“Di dalam PRU15, Pakatan Harapan (PH) selaku blok politik terbesar mempunyai 82 kerusi dan dalam aspek undi popular pula, PH mendapat 5,823,931 undi atau 37.97 peratus iaitu jumlah undi terbesar dalam blok politik parti bertanding.

“Perikatan Nasional (PN) pula hanya mendapat 4,667,429 undi atau 30.24 peratus dan BN mendapat 3,433,369 undi atau 22.42 peratus.

“Berdasarkan kepada asas ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan peluang membentuk kerajaan selaku pemimpin utama daripada blok parti politik yang memenangi jumlah kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Faiz menambah, jumlah kerusi dan peratusan undi rakyat telah dimanifestasikan bahawa Anwar adalah pilihan rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Apatah lagi, PH telah mencadangkan nama Anwar sebagai Perdana Menteri sepanjang kempen PRU15 ini.

“Pelantikan Anwar juga bertepatan dengan asas sistem demokrasi yang diamalkan bukan sahaja di Malaysia malah di kebanyakan negara lain di dunia bahawa parti yang memperolehi kerusi dan undi majoriti perlu dipilih sebagai Perdana Menteri,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )