Benarkah Jho Low dan isteri dilihat di Macau??

Benarkah Jho Low dan isteri dilihat di Macau??

Wartawan Tom Wright dan Bradley Hope mendedahkan satu foto terbaharu didakwa menunjukkan keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di sebuah pusat membeli belah di Macau, China.

Menurut Bradley, foto tersebut diterima daripada penyiasat persendirian yang merakam gambar Jho Low memakai baju berwarna oren yang membelakangkan kamera.

Bradley berkata, penyiasat persendirian itu turut menunjukkan sebuah foto yang mendedahkan wajah Jho Low pada ketika itu namun beliau tidak dibenarkan untuk berkongsikan gambar berkenaan atas sebab tertentu.

“Jelas sekali terdapat masa yang berbeza apabila Jho Low menjadi individu yang sangat dicari kerana usaha ingin mendapatkan semula wang [telah diseleweng daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB)].

“Tidak jelas siapa yang mengupah penyiasat persendirian ini tetapi ia mungkin kerajaan Malaysia atau perantara kerajaan Malaysia. Tetapi bagaimanapun ia telah dikesan,” ujar Bradley menerusi perkongsian di YouTube bersama Tom pada Jumaat.

Bradley berkata, turut kelihatan di dalam gambar tersebut ialah isteri kepada Jho Low iaitu Jesselynn Chuan Teik Ying yang memakai gaun hitam bersama seorang pembantu dan seorang individu dipercayai merupakan penjaga kepada ahli perniagaan tersebut.

Bagaimanapun, kedua-dua wartawan tersebut tidak mendedahkan mengenai tarikh ketika foto tersebut diambil.

Dalam pada itu, Bradley berkata, dengan mengambil kira nilai AS$8.5 bilion atau RM38.8 bilion diselewengkan daripada 1MDB berbanding jumlah berjaya dipulihkan oleh beberapa kerajaan termasuk Malaysia, Jho Low dilihat masih mempunyai kekayaan yang besar.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )