Apa yang berlaku di PRN Melaka, satu petanda baik

Apa yang berlaku di PRN Melaka, satu petanda baik

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan yang tidak menyebelahi PH dalam PRN Melaka perlu dikaji supaya kelemahan yang dikenal pasti kelak dapat diperbaiki dengan kadar segera.

“Dengan sekatan yang cukup hebat untuk mengadakan kempen pada PRN ini, ia bukan mudah ditambah pula ada dakwaan pengundi keliru mengatakan logo PH dan Perikatan Nasional (PN) hampir sama.

“Itu antara yang akan dibuat penilaian dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, PH Negeri Sembilan akan membuat penilaian di peringkat negeri berhubung kedudukan gabungan itu dan mengatur semula strategi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Berkenaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang gagal memenangi sebarang kerusi, Aminuddin berkata, ia adalah perkara biasa kerana PKR pernah hanya tinggal satu kerusi di Permatang Pauh.

“Ia perkara biasa dan kami akan sentiasa berusaha memperbaiki dan beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama selaku kerajaan negeri. Itu janji kami.

“Apa yang berlaku dalam PRN itu sebagai satu petanda baik untuk kami kaji kelemahan atau jika ada kesilapan memperbaikinya kerana tahu rakyat yang akan menentukan masa depan sesebuah parti,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )