Apa cerita dengan PBM sertai BN? Zuraida kena fikir panjang

Apa cerita dengan PBM sertai BN? Zuraida kena fikir panjang

Apa cerita dengan permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang diketuai oleh Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menganggotai Barisan Nasional (BN)?

Adakah parti baharu ini akan diterima atau ditolak oleh BN yang dianggotai empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)?

Ini kerana menurut Timbalan Pengerusi BN, Dato’ Seri Mohamad Hasan, semua keputusan dibuat secara konsensus dan tidak ada keputusan yang dibuat hanya satu parti.

“Kita ada empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS dan keempat-empatnya mesti bersetuju,” katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida sebelum ini menyatakan bahawa PBM akan menerima apa sahaja kemungkinan berhubung permohonan parti itu untuk menyertai BN.

“PBM mempunyai semangat yang tinggi kerana saya melihat daripada pengalaman, kita boleh mengharungi apa sahaja kemungkinan,” katanya.

Timbul juga persoalan jika BN menolak atau tidak menerima permohonan PBM, apakah strategi parti itu selepas ini?

Jika melihat kepada situasi terkini, terdapat tiga gabungan parti lain di dalam negara iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Barangkali, Zuraida juga perlu ‘berfikir panjang’ jika mahu menyertai salah satu daripada tiga gabungan ini.

Ahli Parlimen Ampang itu dalam masa sama juga perlu lebih pantas dalam membuat keputusan dan strategi kerana jika partinya bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak mustahil bahawa tiada kerusi yang akan dimenangi oleh parti berkenaan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )