Anwar tenang, sempat berseloroh pergi tengok wayang

Anwar tenang, sempat berseloroh pergi tengok wayang

Bak kata pepatah ‘Tak akan hilang bisa ular menyusur akar’

Demikian diumpamakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sangat tenang dan meneruskan rutin seperti biasa dengan ke pejabatnya di Jalan Gasing.

Malah reaksi spontan Anwar ketika ditanya berkenaan destinasi yang ditujunya ketika keluar dari kediaman beliau di Bandar Sungai Long, beliau menjawab.. pergi tengok wayang sambil tersenyum tenang.

Ahli Parlimen Tambun itu dilihat keluar dari rumahnya sekitar jam 11.22 pagi dan sempat menyapa Petugas-petugas media yang berkampung di hadapan kediamannya sejak jam 9 pagi.

Di sebalik kemelut pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri Ke-10, Presiden PKR itu tiba di pejabat bagi melakukan tugas harian, disusuli Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil.

Pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri Ke-10 yang terarah kepada Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin masih gagal diselesaikan selepas tiga hari Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilangsungkan Sabtu lalu.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk Barisan Nasional (BN) yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Bagi menyelesaikan kemelut, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pemimpin gabungan parti politik menghadap Baginda di Istana Negara bermula semalam.

Semalam, Anwar dan Mahiaddin masuk menghadap Seri Paduka, namun tiada penyelesaian dan hari ini, tiga pimpinan Barisan Nasional (BN) dan empat pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) berbuat demikian.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )