Anwar tak serik main politik

Anwar tak serik main politik

Bukan main lagi Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menilai dan menghukum sesiapa sahaja yang dilihat tidak sebulu dan tidak sehaluan dengan Bersatu.

Terkini beliau mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak serik bermain politik ketika kerajaan sedang berusaha memerangi pandemik Covid-19 di negara ini.

Wan Saiful berkata, ia boleh dilihat apabila Ketua Pembangkang itu menyampaikan hasratnya ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Negara Rabu lalu supaya kerajaan tidak menyambung perintah darurat selepas Ogos ini.

Beliau berkata, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu harus sedar bahawa meletakkan negara di bawah Ordinan Darurat bukan satu keputusan yang mudah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, perintah darurat terpaksa diambil bagi memastikan negara boleh memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Anwar juga perlu sedar bahawa Seri Paduka Baginda dengan kebijaksanaan telah pun memperhalusi cadangan dan nasihat diberikan Perdana Menteri serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum bersetuju keputusan kerajaan melaksanakan perintah darurat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Rabu, isu pembentukan kerajaan baharu tidak dibangkitkan Anwar, sebaliknya beliau menyampaikan hasratnya agar kerajaan tidak menyambung perintah darurat selepas Ogos ini.

Buat Wan Saiful, mengata dulang paku serpih, mengata orang, sebenarnya kamu yang lebih. Seluruh rakyat tahu bagaimana kamu berpolitik dan mengatur strategi politik demi kepentingan Presiden dan parti kamu.

Namun yang kami tidak faham, mengapa segala benda yang kalian lakukan sejak Langkah Sheraton, tidak dipanggil sebagai ‘main politik’?

 

 

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )