Anwar seorang reformis dan ‘mujaddid’ – Mufti

Anwar seorang reformis dan ‘mujaddid’ – Mufti

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor optimis dengan kepemimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ke-10 ke arah perubahan landskap tanah air menuju era baharu yang menjanjikan masa depan lebih cerah buat rakyat.

Beliau yakin Anwar boleh dianggap sebagai seorang ‘muslih’ (reformis) dan ‘mujaddid’ (pembaharu) yang akan membawa Malaysia ke arah pembinaan tamadun gemilang pada masa hadapan dengan izin Allah SWT.

“Beliau mempunyai bakat kepemimpinan semula jadi anugerah Allah SWT sebagai pemimpin ulung berkemampuan dalam mengemudi negara ke puncak kemajuan dan kecemerlangan yang didambakan rakyat pelbagai kaum.

“Anwar adalah ibarat sebutir permata gemilang dan satu aset terbilang, keintelektualan beliau mendapat pengiktirafan seluruh dunia dan bagi umat Islam khususnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Salim berkata, Anwar juga memiliki pengalaman luas dalam pelbagai bidang pentadbiran tertinggi negara kerana pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Malah kecemerlangan beliau dalam bidang kewangan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat kerana berjaya menghayati semangat Keluarga Malaysia dalam tempoh menunggu pembentukan Kerajaan Perpaduan yang akan menerajui pemerintahan negara bagi lima tahun akan datang.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )