Amanah perlu ‘Membina Rentak’ bukan ‘Pengakur Rentak’

Amanah perlu ‘Membina Rentak’ bukan ‘Pengakur Rentak’

Amanah, sebagai sebuah parti politik yang bersifat nasional seharusnya lebih fokus dan tuntas dalam menentukan hayat politik bagi merealisasi kewujudannya. Meski pun Amanah telah berjaya memperlihatkan keupayaannya untuk bersaing dalam PRU 14, namun ini tidak bermakna Amanah akan berada dalam situasi atau pada kedudukan yang sama pada PRU 15, untung batu tenggelam, untung sabut timbul.

Apa yang pasti, Pilihan Raya Umum (PRU15) adalah PRU yang cukup getir untuk Amanah. Selagi Amanah tidak dapat mengkonsepsikan diri berdasarkan kompas yang betul, selagi Amanah terikat dengan keterujaan politik perjuangan menempatkan individu tertentu ke jawatan Perdana Menteri, tanpa melihat jawatan Perdana Menteri dalam konteks gambaran yang besar (the big picture), selagi itulah Amanah berada dalam kegagapan politik.

Sememangnya berdasarkan matlamat penubuhannya, Amanah berkecenderungan mempunyai aspirasi perjuangan yang besar, bahkan sepatutnya juga Amanah mampu untuk meletakkan pengaruh ke atas politik dinamisme antarabangsa, khususnya dalam mendeskripsi gerakan Islam dunia. Amanah sewajarnya dapat membebaskan diri daripada politik Islam tradisionalistik sektoran.

Amanah perlu memperkasa dirinya dalam realiti “gergasi politik,” mempunyai kebebasan bertindak serta  berupaya untuk melepaskan diri daripada dibayangi oleh gerakan “politik individualistik” pihak tertentu yang berkecenderungan untuk memenuhi hasrat dan kepentingan peribadi, sehingga melanggari prinsip kerjasama politik sesama rakan kumpulan politik, bahkan boleh pula bertindak dalam kerangka praktis politik peribadi dengan membelakangkan semangat perjuangan bersama sebagai satu pasukan.

Kumpulan ini adakalanya terserlah akan keegoaan dan kemegahan dengan gaya “abang besar” untuk membina empayar kuasa sehingga berkecenderungan untuk menguasai rakan sepasukan, kadang-kadang sangup bertindak dengan cara “cah keting.” Asalkan kepentingan politik peribadi dapat nikmati, meski pun menggadai maruah diri.

Amanah perlu wujud dan bertarung dalam konteks dirinya dengan identiti serta falsafah politiknya sendiri. Amanah tidak seharusnya menjadikan dirinya sebagai pemikul beban liabiliti yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam usaha mereka untuk mencapai matlamat peribadi. Amanah tidak sebarusnya membiarkan dirinya dijadikan “batu loncatan” untuk menjayakan kehendak peribadi individu lain.

Amanah harus mampu membebaskan diri daripada diheret secara bersama untuk memperakui kegagalan yang disumbang oleh pihak lain atas kepentingan politik peribadi, walhal kegagalan tersebut tidak ada kena mengena dengan tindakan yang dilakukan oleh pimpinan Amanah, sebaliknya Amanah dilibatkan sama untuk mengambil tanggungjawab mendokong kegagalan tersebut. Satu tindakan yang bersifat mementingkan diri sendiri, politik memangsakan kawan.

Pimpinan Amanah perlu bertindak secara strategik untuk melepas diri daripada perangkap politik telunjuk lurus kelingking berkait. Amanah sewajarnya menjadi parti yang membina rentak, bukan menjadi pengakur kepada rentak yang dicipta oleh pihak lain, sehingga menampakkan kecanggungan dan kekeliruan untuk bertindak.

Dr. Kamarudin Musa

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )