Amalan ‘saling membuka pekung’ dalam UMNO makin membarah

Amalan ‘saling membuka pekung’ dalam UMNO makin membarah

Sejak tercetusnya kekecohan yang dicipta oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman dalam UMNO, ternyata telah mengundang reaksi pelbagai dalam kalangan penganalisis politik.

Ada yang menjangkakan kenyataan dibuat Ketua UMNO Pasir Salak itu akan mewujudkan kesan rantaian dalam UMNO, jika kemelut itu dibiarkan berpanjangan.

Penganalisis politik, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata implikasi kemelut dalaman UMNO itu antara lain boleh mengakibatkan pengundi cenderung tidak memilih parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, pengundi tidak gemar kepada parti yang bertelagah, selain mempunyai pelbagai pilihan lain yang mungkin memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat.

“UMNO tak boleh leka dengan sindrom penafian kerana ia adalah punca utama kekalahan pada PRU14. Masalah kecil tetap masalah dan mungkin menjadi parah, selain jangan perlekeh individu tidak senada dengan pemimpin, sebaliknya raikan perbezaan pendapat mereka.

“Kemelut antara Tajuddin dan Ahmad Zahid ini bukan beri masalah kepada UMNO, sebaliknya bagi ekosistem di luar parti. Rakyat akan melihat UMNO asyik bergaduh dan ia tidak menguntungkan mereka.

“Justeru, ini akan mewujudkan pandangan ‘buat apa undi UMNO’, selain menyebabkan pengundi sama ada memilih pembangkang atau langsung tidak mengundi,” katanya.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, kemelut berterusan dalam kalangan pemimpin UMNO akan mewujudkan pelbagai kesan rantaian, sekurang-kurangnya sehingga pemilihan parti berkenaan.

Keadaan itu, katanya, akan mewujudkan amalan ‘saling membuka pekung’ antara pemimpin yang bertanding pada pemilihan UMNO, selain memberi impak kurang baik kepada individu tidak senada dengan kepemimpinan utama parti.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )