Alasan Muhyiddin isytihar Darurat ditolak

Alasan Muhyiddin isytihar Darurat ditolak

Pemimpin PAKATAN HARAPAN sebulat suara menolak rasional serta segala alasan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membolehkan darurat diisytiharkan di negara ini.

PAKATAN HARAPAN berpendapat tindakan ini hanya untuk memberikan kuasa mutlak kepada Muhyiddin sedangkan ia tidak perlu.

Menurut mereka undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumum sebelum ini, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak COVID-19.

“Malah kami melihat tindakan menggantung parlimen dan dewan-dewan undangan negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat,” kata pemimpin kanan PAKATAN HARAPAN selepas mesyuarat Majlis Presiden PAKATAN HARAPAN kelmarin.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya,” ujar mereka.

PAKATAN HARAPAN melihat tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat ketika beliau kehilangan sokongan majoriti anggota parlimen, termasuk Tan Sri Razaleigh Hamzah, Datuk’ Ahmad Jazlan Yaakub dan Dato’ Seri Muhamad Nazri Aziz tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” kata kenyataan itu.

Kenyataan ini disokong oleh Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari yang menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin sekarang gagal membuktikan keabsahannya untuk membuat undang-undang yang tidak perlu dibentangkan di Parlimen.

Beliau menyuarakan kebimbangannya bahawa proklamasi darurat sehingga Ogos ini akan memberikan kuasa mutlak tanpa batasan kepada Kerajaan PERIKATAN NASIONAL yang hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja.

Menjelaskannya, beliau berkata, sewaktu darurat tiada unsur semak dan imbang apabila kerajaan boleh melakukan apa sahaja dengan sewenang-wenangnya. Tambahan pula proklamasi darurat itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

Apa yang menjadi masalah kepada darurat ialah kerajaan boleh langgar sekatan-sekatan yang ada di dalam Perlembagaan.

“Itu sebenarnya yang kita risau darurat ini, bukan soal kuasa tentera, soal ketenteraman awam, bukan itu,” katanya menerusi sesi Facebook Live di akaun rasmi beliau malam kelmarin.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi, Perak itu kuasa Perdana Menteri menjadi kuasa terlalu luas dan mutlak dan tiada batasan.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )