Akta Antitukar Parti: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen capai kata sepakat

Akta Antitukar Parti: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen capai kata sepakat

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti telah mencapai kata sepakat dalam hampir semua perkara dasar mengenai gubalan Rang Undang-undang itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Pengerusi Jawatankuasa berkenaan berkata, kata sepakat dicapai pada mesyuarat pada Khamis yang turut mendapatkan pandangan bertulis daripada badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan masyarakat madani (CSO), parti-parti politik dan pakar akademik berkaitan parameter gubalan Rang Undang-undang itu.

“Mesyuarat ini seterusnya akan meneliti pandangan bertulis berkenaan sebelum Rang Undang-undang ini dapat dimuktamadkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, Rang Undang-undang itu akan dibentangkan dan dibahaskan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada masa yang akan ditetapkan nanti.

“Pihak Jawatankuasa akan bermesyuarat semula pada 19 Mei ini untuk meneliti draf Rang Undang-undang yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara berpandukan maklum balas yang diterima melalui semua keputusan dasar dan perincian tafsiran yang dibuat mesyuarat semalam.

”Selain itu, draf Rang Undang-undang ini juga akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik untuk dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pemandu tersebut,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )