Akhirnya Anwar ke Putrajaya di usia 75 tahun

Akhirnya Anwar ke Putrajaya di usia 75 tahun

Pengumuman pelantikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 bukan sekadar menamatkan kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan, malah menoktahkan penantian 24 tahun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk bergelar Perdana Menteri.

Bukan sekali dua anak kelahiran Kampung Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu terlepas peluang untuk menduduki jawatan nombor satu negara itu baik ketika masih bersama UMNO ataupun selepas menerajui PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Yang pasti, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui kenyataan media selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini, berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar yang dilahirkan pada 10 Ogos 1947 bukanlah nama asing dalam sejarah politik negara, malah rekod beliau turut diketahui ramai sehingga ke luar negara.

Bagi yang lahir sebelum 1980-an, Anwar yang kini berusia 75 tahun pastinya pernah dikenali sebagai bintang atau ‘rising star’ dalam UMNO sehinggalah dipalit kontroversi ketika namanya disebut-sebut bakal menjadi pengganti kepada Mahathir yang juga mentor politiknya ketika menjadi Perdana Menteri keempat.

Berpendidikan awal di Bukit Mertajam Boys School, Anwar pernah belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) selaku antara sekolah menengah terkemuka negara antara 1960 hingga 1966. Beliau kemudian diterima masuk ke Universiti Malaya, untuk mengikuti Pengajian Melayu dengan pengkhususan Sastera pada 1967.

Kerjaya politik Anwar boleh dikatakan bermula sejak zaman universitinya apabila menjadi Presiden Kesatuan Pelajar Islam Malaysia antara 1968 hingga 1971. Malah, Anwar dipilih Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1971 sebelum menjadi Presiden Kedua Pertubuhan itu pada 1974.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )