Ahmad Said nafi terima arahan Sultanah Terengganu lantik Jho Low

Ahmad Said nafi terima arahan Sultanah Terengganu lantik Jho Low

Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang arahan atau titah daripada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah supaya melantik ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam urusan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Ahmad, 67, yang memegang jawatan itu sejak 2008 hingga 2014, menegaskan bahawa beliau juga tidak pernah menerima sebarang pandangan atau nasihat berhubung TIA daripada Sultanah Nur Zahirah.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Peguam, Datuk Haziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah, pada perbicaraan kes saman terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi berkenaan dakwaan Rewcastle-Brown dalam buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose menggambarkan baginda sebagai seorang yang berpengaruh serta mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kerajaan negeri Terengganu.

“Tidak pernah sekalipun saya bertemu atau bersua dengan Sultanah Terengganu ketika TIA ditubuhkan, sebab itu saya menafikan sekeras-kerasnya. Saya tidak pernah menerima arahan, titah atau sebagainya yang mengatakan (kerajaan negeri) perlu melantik Jho Low atau sesiapa sahaja,” katanya ketika memberi keterangan.

Dalam pernyataan saksinya, Ahmad yang juga saksi plaintif ketiga dan terakhir menegaskan bahawa dakwaan Sultanah Nur Zahirah menggunakan kedudukan serta peranan baginda untuk mempengaruhi penubuhan TIA adalah palsu dan tidak berasas sama sekali kerana baginda tidak pernah mempunyai peranan, apatah lagi mempengaruhi atau melibatkan diri dalam penubuhan TIA yang sememangnya ditubuhkan oleh kerajaan negeri semasa beliau memegang jawatan Menteri Besar.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )