AGC fail notis rayuan batal keputusan Mahkamah Tinggi

AGC fail notis rayuan batal keputusan Mahkamah Tinggi

Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

“Kami sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail ketika ditanya berkata, notis rayuan sudah difailkan melalui e-filing semalam.

Pihak pendakwaan mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan notis rayuan supaya Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 21 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman melepas dan membebaskan Samirah, 47, dan dua remaja yang kini berusia 19 dan 16 tahun atas pertuduhan membunuh Nazrin, 45, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Dalam penghakimannya, Ab Karim memutuskan keterangan yang menunjukkan Samirah dan dua remaja adalah orang terakhir bersama si mati, tidak boleh dikatakan menjurus kepada kesalahan membunuh Nazrin.

Hakim juga memutuskan tiada bukti langsung yang menunjukkan mereka bertiga melakukan kesalahan (pembunuhan).

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )