55,000 kenderaan bakal sesakkan LPT2 hujung minggu ini

55,000 kenderaan bakal sesakkan LPT2 hujung minggu ini

Pihak Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn Bhd mengingatkan pengguna yang merancang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di Pantai Timur, untuk bersiap sedia menempuh kesesakan dan tempoh perjalanan lebih panjang pada hari puncak dalam sekitar 8 hingga 12 Julai ini.

Pengarahnya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata pihaknya menjangka lebih 55,000 kenderaan akan menggunakan laluan LPT2 pada setiap hari puncak dalam tempoh berkenaan berbanding 18,000 kenderaan pada hari-hari biasa.

“Kekerapan rondaan oleh LPT2Ronda akan ditambah untuk memberi bantuan kepada kenderaan dan pengguna yang memerlukan bantuan di lebuh raya.

“Sepanjang tempoh Aidiladha ini juga, kira-kira 50 anggota LPT2Ronda akan meningkatkan rondaan, terutama di beberapa lokasi kritikal di LPT2 di laluan sepanjang 184 kilometer antara Jabor dan Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan selamat untuk perjalanan jarak jauh.

Zakaria berkata jika pengguna memerlukan bantuan di LPT2, mereka boleh menghubungi talian hotline LPT2 dengan menelefon 1800-88-0220 dan maklumat trafik terkini juga disediakan melalui perkhidmatan Twitter LPT2trafik, serta papan tanda mesej elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya dan pengumuman trafik semasa melalui stesen radio utama.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )