1MDB: Najib yang buat semua keputusan, saya diarah jangan masuk campur

1MDB: Najib yang buat semua keputusan, saya diarah jangan masuk campur

Bekas Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bahawa Dato’ Sri Najib Tun Razak mempunyai kuasa membuat keputusan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan beliau.

Ahmad Husni, 70, berkata, ini dapat dilihat apabila bekas Perdana Menteri itu masih meneruskan projek usahasama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) walaupun saksi ke-20 pendakwaan itu telah melahirkan kebimbangannya berhubung projek itu.

“Pada 2009, saya beritahu Najib bahawa 1MDB tidak boleh ditubuhkan tanpa kajian kebolehlaksanaan, yang Najib mengatakan bahawa beliau akan meneruskan (penubuhan syarikat pelaburan itu) dan memintanya agar tidak masuk campur.

“Berhubung projek usaha sama dengan PSI, saya beritahu beliau yang pertama, masih belum ada telaga minyak lagi. Jika tiada minyak, bermakna kita akan hilang pelaburan… 1MDB tidak mempunyai rekod prestasi dalam petroleum. Saya juga beritahu beliau bahawa 1MDB tidak ada pengalaman dalam bidang cari gali minyak dan sepatutnya diserahkan kepada Petronas.

“Tetapi beliau beritahu saya agar tidak campur tangan lagi. Itu menunjukkan beliau mempunyai kuasa kerana tiada perbincangan,” katanya memberi keterangan.

Sebelum ini, saksi itu memberi keterangan bahawa beliau bertemu dengan Najib di pejabatnya untuk memberitahu bahawa 1MDB tidak boleh ditubuhkan tanpa kajian kebolehlaksanaan, kerana tujuan kajian kebolehlaksanaan itu adalah untuk membuat penilaian praktikal terhadap cadangan projek serta risiko daripada segi perniagaan dan kewangan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )