102 NGO Melayu Islam sokong Anwar jadi PM

102 NGO Melayu Islam sokong Anwar jadi PM

Sebanyak 102 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jaringan NGO Melayu Islam menyatakan pendirian menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Ke-10.

Jurucakap mereka, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata Anwar adalah tokoh yang paling layak untuk dipilih bagi memimpin Malaysia keluar daripada krisis ekonomi, kebejatan tadbir urus, membanteras rasuah, mengatasi sentimen perkauman serta membanteras penyelewengan kuasa.

“Kami menerima perjuangan Anwar yang sentiasa menyuarakan soal akauntabiliti terhadap kepincangan pengurusan khazanah negara oleh golongan elit dengan amalan kronisme dan nepotisme yang berleluasa.

“Anwar juga secara konsisten menyuarakan isu kemiskinan rakyat merentas kaum dan nasib golongan bawahan dalam kalangan petani, nelayan, pekebun, pesawah, buruh kasar dan peniaga kecil.

“Golongan bawahan ini terus-menerus terhimpit dengan pendapatan yang rendah dan kualiti hidup yang tertekan,” kata Mohd Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) pada sidang media , hari ini.

NGO lain yang terlibat adalah Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA), Pertubuhan Ihya Ulum Munawwarah, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Ikatan Ilmuwan Islam Mengenai Dasar dan Tadbir Urus dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia.

Selain NGO, seramai 58 tokoh akademik, agamawan dan aktivis politik turut menyatakan sokongan sama.

Mohd Azmi berkata, Anwar memiliki pengalaman yang luas dalam pengurusan kewangan negara dan ia terbukti ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan selama lapan tahun bermula 1991 hingga 1998 sehingga diiktiraf di peringkat dunia.

 

Katanya, sebagai Menteri Kewangan, Anwar berjaya mengatasi isu hutang negara serta menangani isu belanjawan negara dengan menghasilkan bajet lebihan selama lapan tahun berturut-turut.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )